JANUARI 2023

Fadillah Yakin Prestasi Agrikomoditi Kekal Positif


KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meletakkan keyakinan tinggi bahawa prestasi perdagangan agrikomoditi akan kekal positif bagi tahun 2023 selepas mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM268.1 bilion tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, pendapatan eksport produk agrikomoditi pada tahun 2022 pula adalah sebanyak RM207.3 bilion atau 13.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Walaupun ada penurunan sedikit iaitu 1.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, KPK yakin dengan prestasi perdagangan itu kekal positif tahun ini, katanya sempena Majlis Amanat Tahunan Baharu KPK di Dewan Serbaguna Aras G, KPK di sini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, dari segi sumbangan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) bagi tenmpoh Januari hingga September 2022, sektor itu telah menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu 5.5 peratus dari keseluruhan KDNK nasional.

Ini adalah jumlah yang sangat signifikan, sekali gus meletakkan KPK sebagai sebuah komponen yang amat penting dalam pemerkasaan ekonomi negara dalam jangka panjang, tegas beliau.

Menurut Fadillah lagi, pada tahun 2022, sektor agrikomoditi adalah antara sektor terawal yang dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya bagi memacu semula pertumbuhan ekonomi negara.

Selain daripada hasil dagangan secara langsung, sumbangan sektor itu termasuk dengan menyediakan pekerjaan kepada hampir 431,000 orang pekerja, katanya dan menambah, jumlah itu tidak termasuk pekebun kecil persendirian dan tersusun yang dianggarkan berjumlah 728,000 orang.

Gambaran ini, katanya, secara keseluruhannya menggariskan dengan jelas bahawa Sektor Agrikomoditi adalah penting dan signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

Beliau menegaskan, bagi memastikan Sektor Agrikomoditi dilaksanakan secara mampan dan memenuhi tuntutan kemampanan pasaran import dan pengguna, KPK telah melaksanakan sistem pensijilan kemampanan bagi sektor sawit dan perkayuan.

“Bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil – MSPO), 98 peratus pensijilan MSPO telah dikeluarkan sehingga Disember 2022. Manakala bagi Sijil Kemampanan Perkayuan Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme - MTCS) 37 pensijilan Forest Management Unit (FMU) telah dikeluarkan dengan dengan jumlah keluasan keseluruhan 5.80 juta hektar,” katanya.

Fadillah berkata, pencapaian itu sangat baik dan boleh dibanggakan dan menambah, dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan berpaksikan teknologi digital dalam Sektor Agrikomoditi pula, KPK telah mencapai 96.5% perkhidmatan digital secara End To End (E2E).

“Pencapaian ini lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan di peringkat nasional iaitu 80%. Dengan adanya perkhidmatan E2E ini, penyampaian perkhidmatan Kementerian akan lebih mudah, cepat dan tepat secara dalam talian tanpa perlu berurusan secara bersemuka,” katanya.

Melangkah masuk ke tahun 2023, beliau berkata, rata-rata penganalisa meramalkan bahawa tahun ini mungkin agak mencabar dan ekonomi global dijangka mengalami kelembapan disebabkan oleh kadar faedah dan inflasi yang lebih tinggi yang akan menjejaskan pelaburan; keadaan permintaan pasaran antarabangsa yang lembab, khususnya di pasaran Amerika Syarikat (US) dan Kesatuan Eropah (EU); serta konflik Rusia-Ukraine yang berterusan.

Sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, katanya, Malaysia dijangka akan turut terkesan dengan kemerosotan ekonomi global itu yang akan menurunkan anggaran pertumbuhan KDNK 2023 kepada 3.7 peratus berbanding 4.7 peratus yang disasarkan sebelum ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti